Ramai orang mengatakan bahawa susu
ibu itu adalah yang terbaik. Ya, memang benar. Di dalam Al- Quran ada
menyebutkan perlunya penyusuan itu:
"Dan ibu-ibu hendaklah
menyusukan anak-anak selama 2 tahun genap iaitu bagi orang yang hendak
menyempurnakan penyusuan itu dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan
pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya..." Surah Al-Baqarah
ayat 233.
"Dan kami wajibkan manusia
berbuat baik kepada kedua ibu bapanya;ibunya telah mengandungnya dengan
menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir
menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa 2
tahun).."Surah Luqman ayat 14.
Kenapa yang terbaik?.Banyak
kepentingan dalam memberikan susu ibu, antaranya adalah:
1. Susu
ibu mengandung banyak nutrien.
2. Melindungi
bayi daripada jangkitan penyakit.
3. Mencegah
terjadinya kematian bayi.
4. Mengurangkan
risiko terkena alergi/alahan.
5. Mengurangkan
risiko untuk bayi mendapat penyakit juvenile-onset diabetes (penyakit kencing
manis).
6. Mengurangkan
risiko untuk bayi mendapat penyakit obesiti (kegemukan) apabila dewasa kelak.
7. Susu
ibu yang sentiasa ada, tidak perlu di bancuh, sesuai dengan keperluan bayi
mengikut umur.
Bayi yang tidak mendapat susu ibu
berisiko untuk:
1. Terkena
cirit-birit, jangkitan kuman pada saluran cerna, jangkitan saluran pernafasan
dan jangkitan saluran kencing.
2. Eczema(penyakit
kulit) dan atopi.
3. Necrotising
enterocolitis (radang saluran cerna) terutama kepada bayi pramatang.
4. Jangkitan
kuman dalam telinga.
5. Perkembangan
tumbesaran lambat dan masalah pembelajaran.
6. Boleh
mendapat penyakit juvenile onset insulin dependant diabetes mellitus (kencing
manis).
7. Darah
tinggi pada usia muda.
8. Obesiti
sewaktu masih kanak-kanak lagi.
9. Penyakit
jantung setelah dewasa.
10. Kematian
sewaktu bayi atau kanak-kanak.
Ibu yang tidak menyusukan anaknya
berisiko pula untuk:
1. mendapat
barah payudara dan barah ovari (barah kilang telur).
2. patah
tulang paha apabila sudah berusia.
3. lemak
badan sewaktu hamil tersimpan & menyebabkan kegemukan/obesiti.
4. anemia/
kurang darah akibat rahim tidak mengecut dan haid datang lebih awal.
Bukannya fakta-fakta ini digunakan
untuk menakut-nakutkan, tetapi sekiranya kita mampu, kenapa tidak kita cuba
untuk memberikan penyusuan yang sepenuhnya kepada bayi kita. Ya, sebagai
masyarakat Melayu, saya faham ramai orang-orang tua menyuruh anak-anak mereka
untuk tambah susu formula, kononnya bayi tidak kenyang kalau minum susu ibu,
sikit-sikit nak menyusu, tidur tak lena, perut kembung. Tetapi bukankah kita
mahukan yang terbaik untuk bayi kita. Kajian-kajian dari Barat turut mengatakan
susu ibu adalah yang terbaik. Jadi tepuk dada tanyalah selera.