Monday, July 21, 2014

Keistimewaan susu ibu

Ramai orang mengatakan bahawa susu ibu itu adalah yang terbaik. Ya, memang benar. Di dalam Al- Quran ada menyebutkan perlunya penyusuan itu:

"Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak selama 2 tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya..." Surah Al-Baqarah ayat 233.

"Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua  ibu bapanya;ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa 2 tahun).."Surah Luqman ayat 14.

Kenapa yang terbaik?.Banyak kepentingan dalam memberikan susu ibu, antaranya adalah:

1.      Susu ibu mengandung banyak nutrien.
2.      Melindungi bayi daripada jangkitan penyakit.
3.      Mencegah terjadinya kematian bayi.
4.      Mengurangkan risiko terkena alergi/alahan.
5.      Mengurangkan risiko untuk bayi mendapat penyakit juvenile-onset diabetes (penyakit kencing manis).
6.      Mengurangkan risiko untuk bayi mendapat penyakit obesiti (kegemukan) apabila dewasa kelak.
7.      Susu ibu yang sentiasa ada, tidak perlu di bancuh, sesuai dengan keperluan bayi mengikut umur.

Bayi yang tidak mendapat susu ibu berisiko untuk:

1.      Terkena cirit-birit, jangkitan kuman pada saluran cerna, jangkitan saluran pernafasan dan jangkitan saluran kencing.
2.      Eczema(penyakit kulit) dan atopi.
3.      Necrotising enterocolitis (radang saluran cerna) terutama kepada bayi pramatang.
4.      Jangkitan kuman dalam telinga.
5.      Perkembangan tumbesaran lambat dan masalah pembelajaran.
6.      Boleh mendapat penyakit juvenile onset insulin dependant diabetes mellitus (kencing manis).
7.      Darah tinggi pada usia muda.
8.      Obesiti sewaktu masih kanak-kanak lagi.
9.      Penyakit jantung setelah dewasa.
10.  Kematian sewaktu bayi atau kanak-kanak.

Ibu yang tidak menyusukan anaknya berisiko pula untuk:
1.      mendapat barah payudara dan barah ovari (barah kilang telur).
2.      patah tulang paha apabila sudah berusia.
3.      lemak badan sewaktu hamil tersimpan & menyebabkan kegemukan/obesiti.
4.      anemia/ kurang darah akibat rahim tidak mengecut dan haid datang lebih awal.

Bukannya fakta-fakta ini digunakan untuk menakut-nakutkan, tetapi sekiranya kita mampu, kenapa tidak kita cuba untuk memberikan penyusuan yang sepenuhnya kepada bayi kita. Ya, sebagai masyarakat Melayu, saya faham ramai orang-orang tua menyuruh anak-anak mereka untuk tambah susu formula, kononnya bayi tidak kenyang kalau minum susu ibu, sikit-sikit nak menyusu, tidur tak lena, perut kembung. Tetapi bukankah kita mahukan yang terbaik untuk bayi kita. Kajian-kajian dari Barat turut mengatakan susu ibu adalah yang terbaik. Jadi tepuk dada tanyalah selera.


No comments:

Post a Comment